MCA alu-alukan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional
PASIR GUDANG - MCA mengalu-alukan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) sekali gus dapat merapatkan hubungan dan persefahaman antara parti yang terlibat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penyertaan Bersatu itu tidak menjadi masalah untuk MN yang dipersetujui atas semangat kebersamaan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
"Semalam kita menerima baik berita daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa partinya akan menyertai MN. Keputusan ini dapat merapatkan saf sesama kita.
"Tidak menjadi masalah dan selama ini dalam konteks MN atau Barisan Nasional (BN) pun (contohnya) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kita sudah berbincang dan bermusyawarah untuk bersama-sama mendukung MN walaupun bukan satu perikatan atau pakatan yang formal.
"Intipati dalam MN ialah tanpa mengira kaum dan agama, kita nak rapatkan silaturahim sesama kita, takkan kita nak tolak (sedangkan kita) kata berbaik dan bersahabat (dengan Bersatu), saya rasa perkara ini (penyertaan Bersatu dalam BN) amat dialu-alukan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, Ecoworld di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mah Hang Soon; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah serta Pengerusi Lembaga Pengurus sekolah itu, Wong Tong Huat.
Ka Siong mengulas perkara itu yang diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang disifatkannya sebagai pilihan terbaik parti tersebut kerana berada dalam satu jemaah besar menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.
Menurut Muhyiddin, dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebahagian besar sokongan rakyat sudah pun berada pada pihak mereka dan akan mewujudkan kestabilan politik negara.
Ka Siong berkata, menerusi penyertaan Bersatu itu MN akan bekerjasama seperti dalam BN sebelum ini yang mementingkan semangat setiakawan dan kekeluargaan sebagai satu bentuk gabungan politik.
"MN memerlukan lebih kerjasama dan persefahaman serta bukan konfrontasi. Pada masa sama negara kita perlu mengorak langkah ke hadapan. Pergolakan sebelum ini tidak memberi manfaat kepada kita.
"Saya rasa muafakat membawa berkat seperti kata pepatah Melayu dan saya rasa ini sangat penting. Sebelum ini kita sokong gagasan Muafakat Johor, jadi takkanlah MN kita tak sokong pula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!