Jangan ulangi kesilapan PRU lalu
MELAKA - Pemuda Pas Melaka mengingatkan parti dalam Muafakat Nasional (MN) agar kesilapan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan berulang pada PRU15.
Ketuanya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, kesilapan itu termasuk perbuatan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti.
Menurutnya, apa yang lebih penting, jentera di semua peringkat perlu diperkemaskan dan tiada alasan untuk melakukan kegagalan seperti PRU14.
"Jangan kita ulangi kesilapan lalu seperti salah guna jentera kerajaan. Kita mesti berdiri atas kekuatan kita sendiri dan sikap amanah kita akan menjadi sebahagian daripada sejarah negara ini," katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Melaka Ke-45 di Bukit Katil di sini hari ini.
Ahmad Bilal berkata, dalam keghairahan memimpin, semua pihak tidak sepatutnya mengabaikan 'medan pertempuran' menjelang PRU15 dengan termasuk sedaya upaya melakukan daftar pengundi muda memandangkan pelaksanaan daftar pengundi automatik belum nampak akan dilaksanakan.
"Media sosial anak muda juga mestilah dikuasai sepenuhnya. Kekurangan kita selama ini ialah koordinasi dan pembahagian kerja sehingga gagal menangkis fitnah yang dilontarkan musuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!