Perlembagaan Persekutuan berdepan ancaman jika pemimpin gagal main peranan
KUALA LUMPUR - Kegagalan pemimpin melaksanakan peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dibimbangi akan menjadi ancaman besar kepada undang-undang tertinggi negara itu.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dengan kuasa yang ada pada pemimpin politik.
Menurutnya, oleh demikian, kerajaan hendaklah mengambil inisiatif utama untuk memastikan segala peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan direalisasikan, dizahirkan melalui polisi dan penguatkuasaan undang-undang.
"Kebimbangan kita ialah ia akan terancam, apa isu yang berkaitan, contoh Perlembagaan menyatakan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Sekiranya pendekatan terhadap penghinaan pelaksanaan undang-undang terhadap agama Islam, tidak dibendung melalui pelaksanaan undang-undang, maka ini akan menjadikan peruntukan Perlembagaan itu terancam," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) di Bukit Kiara di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi ADAB, Tan Sri Mohd Yusof Hitam dan Timbalan Pengerusi ADAB, Datuk Ghazali Mohd Yusoff.
Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu berkata, dalam konteks elemen tradisi dan warisan, sikap tidak hormat, tidak setia kepada institusi diraja sebelum ini menunjukkan bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuan itu sering dipersoal.
"Ia menjadi satu tanda tanya sama ada rakyat secara keseluruhannya atau keseriusan pihak pendakwaan atau kerajaan kerajaan untuk melaksanakan peruntukan Perlembagaan tersebut," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, keutuhan Perlembagaan Persekutuan perlu dikekalkan kerana ia merupakan roh dan semangat bangsa Melayu dan telah diserasikan dengan hasrat matlamat sebuah negara bangsa.
"Apabila kita mempunyai sesebuah Perlembagaan, tujuannya ialah supaya Perlembagaan itu menjadi petanda atau simbol atau menjadi hakikat kemakmuran kita.
"Jadi sebab itulah kita mempunyai prinsip keluhuran Perlembagaan, keluhuran Perlembagaan itu menetapkan bahawa apa juga permasalahan, apa juga tindakan cara hidup bertatanegara itu hendaklah merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Katanya, semua pihak perlu bersatu untuk mengangkat prinsip bahawa Perlembagaan Persekutuan itu satu dokumen yang memastikan kemakmuran negara tetap terpelihara meskipun berdepan apa juga ancaman terutamanya dalam konteks globalisasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!