#QuranHour 2019 ketengah surah al-Kahfi
SHAH ALAM - Kempen #QuranHour 2019 bakal mengangkat surah al-Kahfi sebagai tema dalam empat program utamanya yang berlangsung sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Islam (YWUI), Marhaini Yusoff berkata, surah itu dipilih kerana ia merupakan formula menghadapi zaman persekitaran tidak menentu (Volatile), ketidakpastian (Uncertainty), kerumitan (Complexity) dan kekaburan (Ambiguity) atau lebih dikenali sebagai VUCA, selaras dengan situasi semasa.
Katanya, semangat surah itu dibawa sebagai agenda #savingfamilies My Family #QuranHour yang dimulakan dengan keluarga besar di Kumpulan Media Karangkraf melibatkan kakitangannya hari ini.
"Kita mula dari diri kita dulu dan dari tempat kita (Karangkraf) sebelum dibawa dalam Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour nanti," katanya selepas Kempen My Family #QuranHour #savingfamilies di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.
Kempen itu turut disertai Pengasas YWUI yang juga Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamed Izam Mohamed Yusof.
Dalam pada itu, Marhaini berkata, Surah al-Kahfi yang mengandungi 110 ayat itu mempunyai empat cerita utama dalam menghadapi cabaran zaman VUCA.
"Ia meliputi solusi cabaran iman dengan kisah pemuda al-Kahfi, cabaran harta dengan kisah pemilik dua kebun, cabaran ilmu pengetahuan menerusi kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS dan cabaran kekuasaan melalui kisah Zulkarnain," katanya.
Menurutnya, kempen #QuranHour bakal berlangsung 30 Mei ini bersamaan 25 Ramadan, diikuti Arafah #QuranHour (10 Ogos), Malaysia #QuranHour (30 Ogos) dan terbaharu State #QuranHour menjelang tahun baharu.
"Insya-ALLAH pada tahun ini kita tampilkan kelainan dengan mengadakan konvensyen Surah al-Kahfi sebelum bermulanya World #QuranHour," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!