Pelantikan Agong bukti Malaysia negara berdaulat: Guan Eng
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelantikan Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ketua negara yang baharu membuktikan Malaysia sebuah negara berdaulat serta mematuhi undang-undang dan menghormati adat resam yang diamalkan masyarakat sejak sekian lama.
Menurutnya, DAP merafak sembah tahniah atas pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"DAP juga menjunjung kasih merafakkan setinggi-tinggi sembah tahniah di atas pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.
"Ia juga mencerminkan kematangan amalan demokrasi di Malaysia yang menjadi asas kestabilan dan kesatuan untuk seluruh rakyat Malaysia dan punca kekuatan kita dalam membangunkan negara secara bersama,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata pelantikan Al Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berjalan lancar menurut lunas undang-undang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan sistem raja berpelembagaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy turut merafak sembah ucapan tahniah dan junjung kasih yang sama.
"Rakyat Malaysia gembira dan bersyukur dengan pelantikan Al Sultan Abdullah pemerintah yang mesra, prihatin, penyayang dan tegas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Pemerintahan negara di bawah Al Sultan Abdullah diyakini dapat mengekalkan perpaduan, kemananan dan kestabilan negara yang dikecapi sehingga kini," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!