Isteri kaki dipotong, suami pula mata tak nampak

Nur Azipah hanya ditemani tiga anaknya apabila suami berada di hospital menjalani pembedahan mata.
Nur Azipah hanya ditemani tiga anaknya apabila suami berada di hospital menjalani pembedahan mata.
A
A
A

PASIR PUTEH - Nasib sepasang suami isteri bersama tiga anak kecil dari Kampung Jeram Pasu di sini umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Ketua keluarga, Mohd Kairul Lazahak Hashim, 34, hilang penglihatan sejak setahun yang lalu apabila mata sebelah kirinya rosak akibat penyakit katarak.

Isteri, Nur Azipah Mohd Salleh, 34, pula hilang kaki kiri sejak dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan turut disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik, paru-paru berair dan darah tinggi.

Kini mereka berdua buntu memikirkan proses tumbesaran tiga anaknya yang berusia antara enam hingga dua tahun selepas tidak mampu untuk keluar bekerja bagi menampung keluarga.

Nur Azipah dan anak-anaknya menerima kunjungan dari Pertubuhan Cakna Bantu Rakyat Pasir Puteh, Mohd Nizam (kiri) di rumahnya di Kampung Jeram Pasu.
Nur Azipah dan anak-anaknya menerima kunjungan dari Pertubuhan Cakna Bantu Rakyat Pasir Puteh, Mohd Nizam (kiri) di rumahnya di Kampung Jeram Pasu.

Nur Azipah berkata, lebih memeritkan lagi disebabkan oleh masalah kewangan dia dan suami serta tiga anaknya iaitu Nur Aishah Umairah, 6, Nur Jannah Humaiyah, 4, serta Nur Saffiyya Humairah, 2, terpaksa 'berhimpit' dalam sebuah bilik kecil di rumah milik orang tuanya.

Dia berkata, rumah kecil itu dihuni 15 orang ahli keluarga yang terdiri daripada dua buah keluarga lain serta anak-anak mereka.

"Bilik inilah 'syurga' buat kami. Makan, tidur, minum dan memasak di sinilah. Impian nak hidup selesa itu memang ada namun terpaksa ditangguhkan akibat masalah kewangan dan kesihatan kami.

Artikel Berkaitan:

"Sejak kaki dipotong akhir tahun 2018 lalu, saya hanya mampu menghabiskan masa di atas katil sahaja selain terpaksa melawan penyakit lain," katanya.

Menurutnya, walaupun ada menerima bantuan kerusi roda dan kaki palsu namun kemudahan itu tidak dapat digunakan apabila kawasan bawah lulut semakin membengkak.

Katanya, setiap kali ingin mendapatkan rawatan dia berdepan kesukaran untuk ke hospital kerana masalah penglihatan suami yang makin teruk.

Nur Azipah berkata, kini suaminya sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sejak lima hari lalu dan sudah menjalani pembedahan katarak semalam.

Rumah kecil yang didiami Nur Azipah dan keluarga turut dihuni oleh 10 orang ahli keluarga lain.
Rumah kecil yang didiami Nur Azipah dan keluarga turut dihuni oleh 10 orang ahli keluarga lain.

"Suami di hospital ditemani oleh ibu mentua disebabkan saya tidak dapat berbuat demikian walaupun dia sudah uzur dan kurang sihat.

"Saya pula semakin buntu apabila pihak hospital meminta menyediakan sebuah bilik yang selesa dan lengkap dengan segala alatan untuk rawatan dialisis tapi apakan daya jumlahnya terlalu besar iaitu sekitar RM18,000.

"Dalam keadaan saya sekarang sukar untuk berulang alik ke hospital dan suami juga tidak dapat membantu," katanya.

Terdahulu Nur Azipah menerima kunjungan dari wakil Pertubuhan Cakna Bantu Rakyat Pasir Puteh, Mohd Nizam Che Mohd Ali.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) atas nama Nur Azipah Mohd Salleh 03090020497063.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!