Covid-19: 25 kes baharu, enam libatkan kluster di Kedah
KUALA LUMPUR - Kes positif koronavirus (Covid-19) hari ini mencatatkan 25 kes baharu dengan sembilan daripadanya adalah penularan dalam negara manakala 16 lagi adalah kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,200 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 216 kes.
Beliau menjelaskan bagi sembilan kes penularan dalam negara itu, ia melibatkan tujuh warganegara iaitu satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah serta enam kes baharu bagi Kluster Tawar di Baling, Kedah iaitu lima kes di Kedah dan satu di Pulau Pinang.
"Dua lagi adalah kes jangkitan dalam negara yang dikesan di kalangan bukan warganegara di Kuala Lumpur, kedua-dua kes merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh pejabat kesihatan daerah dan ia melibatkan pekerja kedai makan.
"Telah tular di media sosial notis penutupan kedai makan tersebut dan menimbulkan sedikit keresahan di kalangan pelanggan... pihak pejabat kesihatan daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif dan siasatan lanjut dan persampelan akan diambil. Kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyah kuman," katanya dalam kenyataan akhbar perkembangan Covid-19 hari ini.
MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!