BN mohon maaf insiden Armada kena boo
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa membuat permohonan maaf susulan insiden Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diejek Pemuda BN semasa pelancaran jentera Pemuda BN sempena PRK DUN Slim semalam.
Annuar berkata, beliau berharap isu tersebut tidak mematahkan semangat kerjasama antara parti gabungan di bawah Muafakat Nasional (MN).
Menurutnya, beliau turut memuji jawapan matang dikeluarkan Ketua Armada Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang tidak terasa hati dengan insiden itu.
"Saya dapat maklumat ada sedikit peristiwa kecil dalam perhimpunan ramai dan saya ucap terima kasih kepada Armada Perak, yang apabila ditanya tentang berlakunya peristiwa itu, dia beri jawapan yang melambangkan kematangan.
"Dia tak anggap itu sebagai masalah dan mereka akan terus bekerja menyokong BN. Ini resipi yang kita nak tengok. Saya bangga anak-anak muda sudah sampai ke tahap politik yang begini," katanya ketika diminta mengulas berhubung insiden ejekan 'boo' ketika pemimpin BN menyebut nama wakil Armada Perak dalam ucapan mereka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan lesen penjaja di Batu Muda hari ini.
Pada masa sama katanya, beliau akan menyemak kesahihan insiden tersebut dan turun ke Slim dalam masa terdekat bagi memberikan kata semangat.
"Saya harap perkara ini tidak berulang dan semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya turut akui keputusan menyertai MN itu tidak mudah dan memakan masa.
"Kita harap dapat lupakan peristiwa itu dan saya akan jumpa dengan jentera parti, kita akan bekerja sebagai satu pasukan MN yang lebih diperkasakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!