Bersatu sertai MN dengan maksud tersendiri, kata veteran UMNO

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Tan Sri Shahrir Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) mempunyai maksud yang tersendiri.

"Cakap seorang pemimpin kenalah kita faham benar-benar, walaupun tersurat ia mempunyai maksud yang tersirat juga.

"Bersatu yang sedang mengalami perpecahan dalaman, satu krisis keyakinan terhadap kepimpinan tertingginya, dinyatakan akan menyertai Muafakat Nasional.

"Suatu hasrat yang baik. Itu yang tersurat," kata bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu mengulas hasrat Bersatu menyertai MN dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Muhyiddin berkata, beliau percaya bahawa penyertaan dalam MN adalah pilihan terbaik untuk parti itu kerana berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, kenyataan itu bagaimanapun tidak habis di situ apabila Muhyiddin memberi alasan kenapa Bersatu ingin bersama MN.

"Menurut Muhyiddin berasaskan dukungan Muafakat Nasional kepada Perikatan Nasional "sebagai gabungan besar atau the grand coalition". Ini juga tersurat.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dalam pemikiran Bersatu, gabungan besar bukanlah Muafakat Nasional tetapi Perikatan Nasional dan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan menjadikan Perikatan Nasional pula sebagai suatu 'grand coalition'" katanya.

Shahrir bagaimanapun berkata, apa yang beliau faham adalah PN itu adalah gabungan ahli-ahli Parlimen dalam satu pemerintahan manakala MN adalah gabungan dua parti.

"Muafakat Nasional ialah suatu pemerintahan dua buah parti iaitu UMNO dan Pas yang mempunyai berbagai jawatankuasa bersama di peringkat nasional, negeri hingga ke bahagian-bahagian UMNO dan kawasan-kawasan Pas.

"Alih-alih Perikatan Nasional juga dikatakan sebagai 'the grand coaliton'. Muhyiddin bercakap sebagai ketua Bersatu. Dah betullah itu. Dia tidak bercakap sebagai Perdana Menteri 'kerajaan Perikatan Nasional' kerana gabungan ahli-ahli Parlimen hanya menyertai Muafakat Nasional melalui parti masing-masing," katanya.

Shahrir berkata, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, MN bertanding pun sebagai calon parti masing-masing dengan lambang parti masing-masing dan dielakkan pertembungan di mana boleh di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas.

"Ini pun persefahaman secara dasar kerana adanya negeri yang masih sukar membentuk persefahaman itu.

"Penerimaan BN terhadap wakil-wakil rakyat Bersatu masih tetap tidak 'total' iaitu sungguh pun adanya kerajaan Perikatan Nasional, UMNO dan BN tidak bersetuju kawasan yang dimenangi calon Bersatu ditandingi pula oleh calon parti itu pada PRU15.

"Adakah ini yang tersirat? Ianya sehingga kini, tidak berlaku persefahaman di antara Bersatu dengan BN seperti sudah ada persefahaman kerja di antara BN (melalui UMNO) dengan Pas," katanya.

Kesimpulannya, beliau berkata, PN ialah satu kerajaan 'coalition' sementara adanya Parlimen ke-14 dan harapan tersirat Bersatu untuk mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan negeri pada PRU15 melalui penyertaan Bersatu dalam MN tidak mudah diterima oleh akar umbi UMNO dan BN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!