Polis tahan tiga pemandu mabuk
KUALA LUMPUR - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi ‘Op Alkohol’ yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya, mulai jam 11 malam tadi hingga 3 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemandu berkenaan berusia 39 hingga 44 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 45(a)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
“Dalam operasi tersebut, sebanyak 561 kenderaan diperiksa dan sebanyak 51 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan termasuk 17 memandu tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu tanpa lesen akan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Katanya, operasi tersebut akan terus dilaksanakan dari masa ke masa bagi mencegah sebarang kemalangan berkaitan pemanduan mabuk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!