Dua pemancing hilang selepas perahu karam
SIBU - Dua orang pemancing hilang sejak Sabtu malam selepas perahu mereka karam di sebatang sungai di Long Aton, kawasan pedalaman kira-kira 235 kilometer dari bandar Marudi, di utara Sarawak, menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri hari ini.
Jurucakap pusat gerakan itu berkata mangsa, Eduin Jala, 47, dan Franky Setiawan Jena, 14, dikatakan hanyut dan hilang dibawa arus deras selepas perahu yang dinaiki mereka bersama-sama tiga orang lagi rakan terlanggar batu dan karam di sungai berkenaan kira-kira jam 9.30 malam.
“Tiga lagi mangsa kejadian itu telah berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.45 malam dan berikutan lokasi kejadian yang terletak agak jauh ke pedalaman dan melalui jalan pembalakan, sepasukan empat anggota dari balai itu hanya dapat tiba kira-kira jam 5.10 petang tadi.
Sebelum pasukan itu tiba, operasi pencarian awal telah dijalankan bermula pukul 6.30 pagi tadi melibatkan kakitangan Sekolah Kebangsaan Long Aton, selain sekumpulan penduduk dari Kampung Long Aton dan Kampung Long Nuah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!