Delegasi misi kemanusiaan berlepas ke Palu

Delegasi Misi Kemanusiaan Palu dan Donggala 2.0 bergambar sebelum berlepas ke Palu.
Delegasi Misi Kemanusiaan Palu dan Donggala 2.0 bergambar sebelum berlepas ke Palu.
A
A
A

SHAH ALAM - Delegasi Misi Kemanusiaan Palu dan Donggala 2.0 selamat berlepas ke Palu hari ini bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di sana.

Ketua Misi berkenaan, Nur Hazwani Mohd Hanifiah berkata, delegasi tersebut terdiri daripada 17 individu merangkumi wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari Pahang dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Beliau berkata, misi tersebut bertujuan bagi memberi sokongan moral kepada penduduk di kawasan terlibat susulan daripada bencana gempa bumi yang menimpa sebelum ini.

"Kami akan mendekati mangsa-mangsa terlibat di samping mengedarkan bekalan makanan dan barangan keperluan lain untuk kegunaan mereka," katanya.

Difahamkan, antara NGO yang turut sama dalam misi tersebut adalah melibatkan ahli Majlis Belia Pahang (PYC), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Bakti Sybab, Derak Venture, Gerakan Belia 4B dan YBK.

Mengulas lanjut, Nur Hazwani berkata, delegasi itu juga turut disertai pengamal perubatan yang mempunyai kepakaran dalam proses pemulihan trauma bagi merawat kanak-kanak dan wanita tempatan di sana ekoran musibah tersebut.

“Bencana yang berlaku pastinya memberi kesan kepada penduduk di sana dan pengamal perubatan ini sedia membantu dalam memulihkan semula semangat mangsa-mangsa di sana," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, program ini merupakan usaha pertama yang diambil oleh pihaknya untuk terlibat bersama-sama dalam misi kemanusiaan dengan beberapa NGO lain.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, YBK akan terus aktif dalam misi-misi kemanusiaan selepas ini bagi membantu nasib golongan yang memerlukan.

"Pengalaman yang diperoleh wakil YBK di sana nanti amat bernilai dan dapat dikongsi bersama rakan-rakan lain apabila pulang nanti.” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!