Dua jam padam kebakaran kedai perabot
KUALA LUMPUR - Pasukan bomba mengambil masa lebih dua jam memadam kebakaran sebuah kedai perabot di Bandar Manjalara tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.03 malam.
Seramai 70 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Jinjang, Taman Tun Dr Ismail, Gombak Selatan, Wangsa Maju, Sentul, Seputeh dan Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Mohd Eirwan Hassian, kebakaran berlaku di satu bangunan yang mempunyai dua lot kedai perabot berkeluasan 1,000 kaki persegi.
"Kebakaran bermula dari lot pertama yang terbakar 100 peratus dan merebak ke lot kedua yang terbakar 10 peratus di bahagian depan kedai.
"Kebakaran dapat dikawal jam 12. 51 malam dan padam sepenuhnya pada jam 2.35 pagi, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!