Sekolah di tiga daerah di Sarawak akhirnya dibuka semula
KUCHING - Kesemua 213 sekolah rendah dan menengah di daerah Kuching, Kota Samarahan dan Padawan akhirnya dibuka semula hari ini selepas pembukaannya ditangguh dua kali berikutan peningkatan kes baharu Covid-19.
Pengarah Pendidikan negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, walaupun ada murid yang masih tidak datang, kehadiran di semua sekolah terlibat memberangsangkan.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, tiada masalah mengenai (kehadiran) kerana ibu bapa sangat bekerjasama. Walaupun terdapat ketidakhadiran... ia normal jika satu atau dua murid tidak hadir di setiap kelas,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Para pelajar yang kembali ke sekolah di daerah berkenaan hari ini selepas hampir lima bulan, adalah pelajar kelas Peralihan, Tingkatan Satu hingga Empat dan Tingkatan Enam Bawah, serta murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 14 Julai lepas mengumumkan pembukaan semula sekolah melibatkan pelajar berkenaan pada 3 Ogos, bagaimanapun berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di daerah terbabit, pembukaan semula sekolah ditangguhkan ke hari ini.
Sementara itu, Agatha Charlotte, 40, berkata kedua-dua anaknya tidak sabar untuk kembali bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas di sini.
“Anak-anak saya mempunyai kesedaran tinggi terhadap kebersihan dan kesihatan diri, jadi saya tidak risau sangat. Saya harap sekolah dapat melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul dan saya juga lebih suka jika mereka kembali ke sekolah kerana dapat berinteraksi dengan rakan dan guru,” katanya.
Alvine Ngu Fung Ling, 42, pula berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk anaknya yang berada di Tingkatan Dua untuk kembali bersekolah kerana ia membolehkan anaknya meneruskan pembelajaran dengan lebih selesa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!