ADUN Bersatu Johor kekal setia
JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menafikan dakwaan bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu lompat parti dan menyertai parti pembangkang.
Pengerusinya, Mazlan Bujang berkata, kesemua ADUN Bersatu di negeri ini masih setia bersama kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).
"Secara logiknya jika ada ADUN lompat parti, maka terbubar kerajaan negeri, tetapi hari ini kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
"Kita kena akur titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika ahli politik terus bertelagah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, tidak dinafikan ADUN dari Bersatu di negeri ini sering menjadi perhatian kerana perbezaan kerusi yang cukup tipis antara kerajaan negeri di bawah PN dan Pakatan Harapan (PH).
"Biasalah bila ada ura-ura hendak pilihan raya ini macam-macam dakwaan ditimbulkan, termasuk ADUN lompat parti dan sertai pembangkang.
"Saya menafikan perkara ini berlaku di Johor kerana ke semua ADUN Bersatu negeri masih kekal bersama parti," katanya.
Sementara itu, kesemua 10 ADUN dari Bersatu di negeri ini ketika dihubungi media hari ini menafikan akan lompat parti bagi menyertai parti pembangkang.
Kesemua ADUN berkenaan iaitu ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang; ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri; ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad: ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian; ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh; ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Penafian berkenaan sekali gus menyangkal dakwaan ada tiga ADUN Bersatu di negeri ini akan lompat parti sebagaimana tular di media sosial sejak malam tadi.
Buat masa ini, kerajaan negeri Johor di bawah PN mempunyai 29 kerusi dan PH mempunyai sebanyak 27 kerusi.
Perbezaan kerusi amat nipis hanya dua kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!