Doktor gadai nyawa selamatkan pesakit Covid-19
SURAT - Seorang pakar bius di India yang menderita koronavirus (Covid-19) tetap mengutamakan pesakit walaupun dirinya berada di bawah rawatan perubatan di hospital itu.
Dr Sanket Mehta, 37, sanggup menggadai nyawa dengan menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 berusia 71 tahun selepas memberi alat bantuan pernafasan walaupun beliau mengalami sesak nafas kerana tahap oksigennya rendah, lapor Times of India (TOI).
Ketua Pegawai Eksekutif hospital, Dr Parshottam Koradia memberitahu, Dr Sanket berada pada jarak dua katil dengan pesakit Dinesh Purani yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal.
"Walaupun keadaannya lemah Dr Mehta menggagahkan diri untuk bangun melakukan intubasi terhadap pesakit.
"Kini, Purani berada di ICU (unit rawatan rapi) dalam keadaan stabil manakala beliau menerima bantuan pernafasan. Keadaannya lemah dan tidak dapat bercakap.
"Tindakan beliau boleh mengorbankan nyawanya sendiri tetapi berjaya menyelamatkan nyawa pesakit,” kata Dr Hiral Shah pula.
India merupakan negara ketiga di dunia yang mempunyai lebih dari dua juta penduduk disahkan positif Covid-19 bulan ini sekali gus menjadi negara ketiga paling teruk dilanda Covid-19 selepas Amerika Syarikat dan Brazil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!