Covid-19: Polis nafi tetapkan kuota kompaun
KOTA SAMARAHAN - Polis Kota Samarahan hari ini menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pasukan petugas yang memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di daerah itu diberi kuota kompaun yang perlu dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, pengeluaran kompaun tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya oleh enam pasukan petugas yang bertanggungjawab.
“Kompaun ini bukannya bertujuan menyusahkan anggota masyarakat tetapi untuk mendidik supaya mereka dapat menjalani kehidupan harmoni dan selamat dengan normal baharu yang ditetapkan dalam keadaan Covid-19 yang belum dapat diselesaikan 100 peratus ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Program Kesedaran dan Tanggungjawab serta Amalan Normal Baharu Dalam Kehidupan Komuniti Sarawak Pasca-Covid-19 di sini hari ini.
Sudirman berkata,sebanyak 174 kompaun telah dikeluarkan di daerah itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu hingga hari ini.
Sementara itu,Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos yang merasmikan majlis pelancaran tersebut mahu Kota Samarahan yang diisytiharkan zon hijau sejak seminggu lepas terus kekal dengan status berkenaan.
Katanya, daerah itu pernah menjadi zon merah sewaktu kemuncak pelaksanaan PKP dan masyarakat perlu mengambil iktibar daripada pengalaman ketika tempoh berkenaan.
“Setiap daripada kita perlu bekerjasama untuk menghapuskan Covid-19 ini dan diharapkan sehingga 31 Ogos ini, (daerah) kita ini akan dapat terus kekal (sebagai zon) hijau," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!