Diplomat puji kejayaan Malaysia kekang Covid-19

Profesor Dr Qaley Allahverdiyev
Profesor Dr Qaley Allahverdiyev
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang diplomat hari ini memberi penghormatan kepada Malaysia atas kejayaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 yang boleh dijadikan contoh, dengan mengatakan bahawa kejayaan itu dihargai di peringkat antarabangsa.

Dekan Kor Diplomatik, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev yang juga Duta Besar Azerbaijan di Malaysia berkata: “Kejayaan Malaysia dalam mengawal dan mengatasi cabaran penularan Covid-19 bukan sahaja dihargai oleh Malaysia tetapi juga peringkat antarabangsa”.

Allahverdiyev menyampaikan ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini.

Bercakap bagi pihak perwakilan lain di Malaysia, beliau berkata, kor diplomatik sebagai wakil rasmi negara masing-masing menyaksikan dan mengiktiraf nilai penuh komitmen Al-Sultan Abdullah untuk meningkatkan kenegaraan Malaysia.

“Dan kami dengan tulus mengucapkan tahniah atas apa yang telah dicapai,” katanya.

Allahverdiyev juga berkata, kor diplomatik di Malaysia mempunyai keyakinan tinggi bahawa kerajaan di bawah naungan Al-Sultan Abdullah akan terus mencapai pencapaian luar biasa dalam merancang program dan dasar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, bermaruah dan bebas.

Beliau berkata, kor diplomatik juga mendoakan perlindungan dan kemakmuran Malaysia dan semua rakyat di bawah kepimpinan Seri Paduka Baginda.

“Semoga ALLAH yang Maha Kuasa sentiasa melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda dan keluarga diraja,” katanya dan menyampaikan ucapan selamat ulang tahun ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam bahasa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Seramai 31 individu menerima anugerah, darjah kebesaran dan pingat hari ini pada istiadat sesi pertama. Sejumlah 829 orang telah diberikan penghormatan sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!