'Rakyat dah tegur, Guan Eng tak serik'

Kenyataan Najib di Facebook menggesa Guan Eng berhenti menggunakan saluran dan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan untuk berpolitik
Kenyataan Najib di Facebook menggesa Guan Eng berhenti menggunakan saluran dan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan untuk berpolitik
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak serik menyalahgunakan saluran dan kenyataan rasmi kementeriannya untuk PRK Cameron Highlands.

Katanya, walaupun telah dikecam dengan hampir 3,000 komen negatif daripada netizen berkaitan paparan hutang kerajaan Pahang pada Selasa lalu, kementerian itu tidak mengambil ikhtibar dan menghiraukan suara rakyat.

"Mereka buat sekali lagi petang ini. Ini Kementerian Kewangan Malaysia, bukan Kementerian Kewangan DAP atau Kementerian Kewangan Guan Eng," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng menerusi satu kenyataan media memaklumkan berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara Malaysia, kerajaan Pahang berhutang sebanyak RM3.178 bilion dengan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa jumlah sebenar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan berjumlah RM760 juta setakat 31 Disember 2018 adalah tidak tepat.

Tegas beliau, hutang Pahang sudah mencecah RM2.801 bilion pada tahun 2014 lagi dan jumlah tersebut meningkat saban tahun sehingga 2017.

Selasa lalu Guan Eng turut mempersoalkan kemampuan kerajaan Pahang untuk melaksanakan pembangunan mampan dengan jumlah hutang tertinggi di negara yang direkodkan negeri itu.

Jelasnya, Pahang mencatatkan sebanyak RM3.2 bilion hutang pada akhir 2018 dan belanjawan berdefisit setiap tahun dengan defisit terkumpul sebanyak negatif RM228 pada akhir 2017 lalu.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan tersebut turut mendapat reaksi daripada beberapa pemimpin pembangkang seperti bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican yang meminta Menteri Kewangan itu menghentikan serangan politik terhadap beberapa negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan.

Megulas lanjut, Najib berkata, tugas Kementerian Kewangan adalah menjaga kewangan negara dan kesihatan ekonomi dan bukan bermain propaganda politik.

"Mengapa Kementerian Kewangan Malaysia perlu menyerang Pahang? Bukankah negeri Pahang merupakan sebahagian daripada Malaysia?" solanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!