Akta Hasutan masih relevan: Mohd Shahar
KUALA LUMPUR - Kerajaan berpandangan Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk dilaksanakan di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini kerana ia mengambil kira struktur masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
"Penyebaran maklumat ataupun berita berunsur hasutan melalui media sosial yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia boleh menjadikan keadaan ini jadi serius dan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
"Oleh hal demikian, kerajaan juga berpandangan seperti juga pandangan Yang Berhormat Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ), akta ini perlu diperkemaskan selaras dengan perkembangan semasa terutamanya penggunaan media sosial yang semakin meluas," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) minggu lalu ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 mengesyorkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperkukuh Akta Hasutan 1948 dengan melakukan kajian teliti bagi memastikan ia sesuai dengan situasi semasa bukan menghapuskannya.
Katanya, kajian perlu dilakukan semula kerana akta itu masih relevan untuk menjaga keselamatan negara yang berlatar belakang rakyat berbilang kaum, agama dan adat resam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!