Maybank dinobatkan Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia
KUALA LUMPUR - Maybank dinobatkan sebagai Bank Digital Pengguna Terbaik Dunia di Malaysia dan Indonesia untuk pemenang Pusingan Pertama Anugerah Bank-Bank Pengguna Terbaik Dunia 2020 di Asia-Pasifik oleh majalah Global Finance.
Dalam satu kenyataan hari ini, Global Finance berkata, pemenang Pusingan Satu itu juga turut merangkumi Bank Digital Pengguna Terbaik, Bank Digital Korporat/Institusi Terbaik dan Bank Digital Islam Terbaik pada peringkat negara.
"Pemenang dipilih di Afrika, Asia-Pasifik, Eropah Tengah dan Timur, Amerika Latin, Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah Barat," katanya.
Turut diumumkan hari ini adalah pemenang bagi peringkat Serantau dalam Sub-Kategori seperti Keselamatan Maklumat Terbaik dan Pengurusan Penipuan, Aplikasi Perbankan Mudah Alih Terbaik dan Bank Digital Paling Inovatif, di mana Maybank telah memenangi anugerah Reka Bentuk Laman Web Terbaik.
"Pemenang dipilih daripada penyertaan yang dinilai oleh panel hakim bertaraf dunia di Infosys, peneraju global dalam bidang perundingan, teknologi dan penyumberan luar. Editor-editor di Global Finance bertanggungjawab untuk pemilihan terakhir semua pemenang.
"Hanya bank-bank yang menyertai pertandingan itu dipertimbangkan untuk anugerah tersebut dan anugerah berkenaan hanya diberikan kepada penyertaan daripada peringkat serantau, negara dan kategori,” katanya.
Bank-bank yang menang anugerah tersebut dipilih berdasarkan kriteria berikut, iaitu kekuatan strategi untuk menarik dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan digital, kejayaan mendorong pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan digital ditawarkan, pertumbuhan bagi pelanggan digital, tawaran produk yang luas, membuktikan telah memperoleh manfaat ketara daripada inisiatif digital dan reka bentuk laman web/mudah alih serta fungsinya, kata Global FInance. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!