[VIDEO] Tendang bola sampai masuk belakang lori
![Muhammad Irfan (kiri) bersama Muhammad Zikri ketika berada di padang bola Tok Jiring. Gambar kecil: Paparan Twitter Muhammad Irfan menarik perhatian ramai.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/08/17/797917.jpg)
KUALA TERENGGANU - Aksi tendangan bola seorang lelaki semasa bermain di padang bola sepak Tok Jiring yang tersasar dari gawang gol dan masuk ke dalam belakang lori yang kebetulan melalui jalan tersebut mendapat perhatian netizen.
Muhammad Irfan Rafiuddin, 22, berkata, rakannya, Muhammad Zikri Zuhairi menendang bola itu selepas mereka selesai bermain bola sepak pada pagi Sabtu lalu.
"Bila tiba giliran Zikri, dia tendang bola melambung melepasi pagar terus masuk 'gol' belakang lori.
"Kami pun tak sangka perkara ini akan berlaku, kebetulan pula lori itu melalui jalan yang berada bersebelahan dengan padang bola. Jadinya, bola terus lesap 'dibawa' lori," katanya.
Menurutnya, kejadian itu sempat dirakam rakannya sebelum dimuat naik di laman sosial hingga tular.
"Video rakaman itu juga saya muat naik di Facebook gabungan anak Terengganu untuk mencari pemandu lori berkenaan.
"Syukur, pemandu lori itu berjaya dikesan dan rezeki kami dapat semula bola tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ditanya reaksi setelah video durasi 22 saat menarik perhatian ramai sehingga ditonton lebih 500,000 tontonan, Muhammad Irfan tidak menyangka itu akan berlaku.
"Saya muat naik video itu sekadar suka-suka dan tak jangka ramai yang tonton dan ulang kongsi di Twitter," katanya.
Selain tendangan bola menarik perhatian warganet, anak muda itu juga dipuji kerana memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi di padang.
Muhammad Irfan yang belajar di Mesir berkata, bagi menyampai dakwah tidak semestinya secara lisan namun ia boleh dizahirkan menerusi perbuatan bagi mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
Siapa2 yang ada terjumpa lori yang ada bola kat belakang tu, boleh dm tepi pic.twitter.com/S9xGHbVrpO
— رفيع الدين (@AbangNgahCrew) August 15, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!