ADUN Batang Kali, Kuang keluar Bersatu sertai Tun M

Harumaini Omar (kiri) dan Sallehudin Amiruddin
Harumaini Omar (kiri) dan Sallehudin Amiruddin
A
A
A

SHAH ALAM - Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar parti bagi menyokong parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman keluar parti oleh ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin dibuat pada Jumaat lalu disusuli ADUN Batang Kali, Harumaini Omar sehari kemudian.

Terdahulu, ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor lebih awal mengumumkan keluar parti pada 8 Ogos lalu.

Ini menjadikan ADUN Bersatu yang kekal di Selangor kini hanya dua orang iaitu ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dan ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Harumaini ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tidak lagi bersama Bersatu selepas mengumumkan keluar parti bersama lebih 1,800 ahli dari enam cawangan di Parlimen Hulu Selangor.

Menurutnya, keputusan tersebut tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya telah memikirkan perkara itu sedalamnya sebelum meninggalkan parti.

"Bersatu telah lari matlamat asal penubuhannya selain organisasinya tidak diuruskan dengan cara betul. Main cincai saja.

"Segala aduan daripada ahli tidak diambil endah sedangkan aduan-aduan itu ada libatkan kes yang berat seperti penyelewengan dalam mesyuarat dengan bukti jelas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Harumaini berkata, beberapa cadangan akar umbi antaranya menambah keahlian menerusi pembukaan cawangan juga ditolak.

"Dengan keanggotaan yang sedikit akhirnya pemimpin yang akan diangkat dalam Bersatu tidak berkualiti ibarat asalkan ada ketua sahaja dan tiada kelayakan sementara Lembaga Disiplin Bersatu pula tidak memainkan peranan mereka. Sesiapa yang menjadi pesaing dipecat," katanya.

Sementara itu, Sallehudin berkata, kekecewaan dengan Bersatu bermula dari keputusan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) yang diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Ia disusuli dengan pemecatan Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen Bersatu yang dilakukan tidak mengikut prosedur sewajarnya.

"Lebih mengecewakan apabila Muhyiddin bersama UMNO dan Pas menubuhkan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Selain itu katanya, beliau menganggap perjalanan pembentukan kerajaan oleh PN dilakukan atas tujuan peribadi tanpa melihat prinsip dan maruah parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!