Bot APMM dirempuh, dilempar bom oleh nelayan asing
PASIR PUTEH - Dua bot nelayan warga Vietnam bertindak agresif apabila merempuh dan melempar bom ke atas bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan bagi mengelakkan diri daripada diperiksa dalam kejadian jam 3.30 petang semalam.
Enggan menyerah diri, 19 nelayan asing itu bertindak ganas dengan melakukan serangan 'ala hendap' sehingga memaksa anggota APMM melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran.
Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tindakan itu dilakukan bagi mempertahankan keselamatan nyawa anggota pasukan dan aset kerajaan.
"Kedegilan nelayan asing untuk menghentikan bot mereka dan menyerah diri serta bertindak agresif itu mengancam keselamatan nyawa anggota bertugas serta mencabar kedaulatan undang-undang negara.
"Sejurus tembakan amaran dilepaskan, kumpulan nelayan itu terus bertindak melemparkan beberapa bom dari jenis petrol dan diesel serta membaling getah yang dicucuh api ke arah bot Penyelamat 7 supaya bot kami terbakar," katanya dalam satu sidang akhbar di lokasi kejadian iaitu 150 kilometer dari Muara Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu objek keras juga dilempar bertalu-talu ke arah anggota hingga menyebabkan terdapat bahagian bot yang pecah.
Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan asing tersebut bertindak semakin ganas dengan merempuh Bot Penyelamat 7 dan mengakibatkan anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan anggota APMM dan aset kerajaan.
Katanya, rentetan rempuhan itu Bot Penyelamat 7 telah mengalami kerosakan di bahagian atas bot manakala salah seorang awak-awak Vietnam maut terkena tembakan.
"Mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati seramai 16 awak-awak termasuk tekong berada di atas bot berkenaan," katanya.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan ke atas bot kedua telah menemui tiga awak-awak termasuk tekong.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot ini mendapati kedua-duanya tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan dan diesel dianggar bernilai RM2 juta.
"Kita akan terus memperkasakan lagi Op Kuda Laut bagi memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan bebas dari sebarang ancaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!