RUU Perbekalan lulus dengan undi belah bahagi

Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 diluluskan di peringkat dasar melalui undian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 111 ahli Parlimen bersetuju, 106 tidak setuju sementara lima lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

RUU peringkat dasar itu diluluskan selepas digulung oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Terdahulu, Sidang Dewan Rakyat ditangguh 10 minit semasa undi belah bahagian bagi RUU tersebut.

Tindakan Azhar yang keluar sebaik memaklumkan penangguhan itu menimbulkan rasa tidak puas hati wakil pembangkang.

Selepas 10 minit, Azhar masuk semula dengan memaklumkan RUU tersebut diluluskan bacaan kali kedua dengan kelebihan lima undi.

Sementara itu, blok Bebas yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) ketika sesi perbahasan pagi tadi menolak usul RUU berkenaan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Blok Bebas tolak RUU tambah peruntukan kementerian, jawatan baharu

RUU itu dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 21 Julai lalu bagi memohon perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200.

Permohonan peruntukan itu dibuat berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baharu dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac 2020.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk Jabatan Perdana Menteri iaitu sebanyak RM310,621,700, Perbendaharaan (RM17,253,000) dan Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM2,405,900).

Peruntukan itu juga untuk Kementerian Perpaduan Negara (RM240,452,000), Kementerian Luar Bandar (RM189,165,000), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (RM102,603,900) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10,000,000).

Selain itu ia turut melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (RM12, 410,600), Kementerian Alam Sekitar dan Air (RM305, 993,000), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM70, 366,000) dan Kementerian Pengajian Tinggi (RM5, 922,811,700).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!