PMO desak perjanjian JV antara 1MDB, Aabar
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa perjanjian usaha sama (JV) antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS dilakukan secara tergesa-gesa kerana diarahkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, walaupun lebih wajar menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) terlebih dahulu sebelum memeterai perjanjian JV, tindakan itu tidak perlu kerana perincian mengenai perjanjian berkenaan telah dikemukakan PMO.
"Saya diberitahu oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa amat penting untuk menyiapkan perjanjian JV sebelum lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi ke Malaysia, oleh itu ia perlu dilakukan sebelum lawatannya.
"Saya ingat ada emel yang dihantar oleh Azlin, yang memajukan salinan emel daripada usahawan Abu Dhabi, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak yang menyatakan syarat JV. Ia dihantar pada akhir tahun 2012 atau awal 2013. Saya menganggapnya dengan niat baik bahawa ini adalah inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G),” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.
Beliau berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!