Mohd Roslan dilantik Naib Canselor UPM
SHAH ALAM - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman dilantik sebagai Naib Canselor UPM yang baharu berkuat kuasa 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023.
Mohd Roslan, 51, berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1994 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland United Kingdom pada tahun 1999.
Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun dan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi atau tugas sebagai Naib Canselor UPM sejak 1 Julai 2020.
Antara jawatan pentadbiran dan akademik lain yang pernah disandang termasuk Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.
Mohd Roslan berpengalaman luas dalam pengurusan hal ehwal pelajar serta memastikan pelbagai program dilaksanakan dengan objektif utama ke arah memperkasakan budaya kesukarelawan, aspek kepemimpinan dan kemahiran insaniah pelajar.
Beliau juga telah menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau percaya pelantikan tersebut dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan Mohd Roslan dalam mengekalkan kegemilangan UPM.
"Seterusnya mengembalikan bidang pertanian berteknologi tinggi sebagai bidang tujahan utama UPM," ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!