Calon Bebas yakin peroleh undi India, orang asli
TANJUNG MALIM - Calon Bebas, Dr S Santharasekaran mahu memberi tumpuan untuk meraih undi masyarakat India dan orang asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Beliau berkata, berdasarkan pertemuan yang dilakukan ketika kempen selama tiga hari ini, masyarakat India memberikan reaksi positif terhadap pencalonan beliau dan kebanyakan mereka menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan.
Menurutnya, begitu juga dengan masyarakat orang asli yang mahu beberapa masalah dihadapi diselesaikan segera untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
"Sebagai contoh, dalam kunjungan saya hari ini di kampung masyarakat India, mereka merasakan saya patut dipilih. Ini kerana saya bekas guru dan mampu membawa perubahan yang lebih baik, menjamin kesejahteraan dan membantu mereka apa yang patut.
"Kalau lihat pengundi di sini ada seramai 23,094 orang. Pengundi India sebanyak 13 peratus. Jadi saya yakin boleh meraih undi itu kerana mereka mesra dengan saya.
"Pengundi Cina pula ada 12 peratus yang kebanyakan mereka masih keliru nak undi yang mana. Jadi saya rasa ada peluang. Dua peratus pula undi orang asli. Orang asli ini tengah-tengah tetapi ramai anak murid saya terdiri daripada orang asli dan mereka menyatakan sokongan," katanya ketika ditemui media berkempen di Jalan Lama Slim River di sini hari ini.
Sementara itu, Santharasekaran berkata, antara isu utama yang dibangkitkan oleh masyarakat India sepanjang kempen sehingga kini ialah masalah kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang dimiliki oleh penduduk khususnya warga emas.
Menurutnya, pemegang MyPR berkenaan sukar mendapatkan bantuan daripada kerajaan sedangkan mereka sememangnya penduduk tempatan.
Selain itu, beliau berkata, penduduk juga berdepan masalah status tanah penempatan yang tidak jelas kerana ada dalam kalangan mereka sudah mendiami kawasan tersebut begitu lama tetapi bukan hak milik.
"Mereka dahagakan kepimpinan yang baharu di DUN Slim supaya ada perubahan. Saya harap dapat jadi wakil lebih baik daripada pemimpin sebelumnya. Tumpuan manifesto saya adalah berkaitan pendidikan, ekonomi, sosial dan alam sekitar.
"Untuk menyelesaikan isu-isu ini, saya perlukan kuasa untuk menyuarakan masalah mereka di DUN Perak nanti," katanya.
Mengenai peluang pada PRK DUN Slim ini, Santharasekaran yang menggunakan lambang buku berkata, beliau yakin menang dengan beberapa strategi yang diatur.
PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!