Armada perkukuh semula sayap pemuda
PETALING JAYA - Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tumpuan beliau selepas dipilih sebagai ketua Armada yang baharu ialah bagi mengukuhkan semula barisan sayap pemuda parti Bersatu.
Katanya, usaha berkenaan termasuk mengaktifkan jentera pilihan raya Armada perlu dilakukan segera bagi membolehkan gerak kerja dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dapat dimulakan secepat mungkin.
“Dua cabaran utama hari ini adalah PRK Slim dan Pilihan Raya Negeri Sabah. Kedua-duanya adalah cabaran pertama Armada yang saya dan barisan pimpinan baharu perlu uruskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu di sini hari ini.
Beliau berkata, Armada juga akan menyumbang ke arah pengukuhan parti dan sebagai persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) khususnya dalam mendapat sokongan dan memenuhi aspirasi anak muda, dan menurutnya beliau yakin sayap pemuda pimpinannya bersih, tiada ‘parasit’ dan setia kepada parti.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal berkata, Armada akan mengadakan perbincangan dengan pimpinan muda sayap UMNO dan Pas berkenaan kerangka besar Muafakat Nasional (MN).
“Dari segi umur, memang kami muda, semuanya berumur 35 tahun ke bawah. Kami mungkin baharu jika dibandingkan sayap pemuda lain. Itu adalah cabaran utama kami dalam meyakinkan golongan dewasa dan lebih berumur bahawa Armada juga mampu membawa aspirasi politik tanah air,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!