Penguin 'lari' dari pusat hidupan liar
NOTTINGHAM - Kisah seekor penguin sesat di jalan Strelley, Nottingham selepas dipercayai menyelinap keluar dari pusat hidupan liar di sini mendapat perhatian warganet.
Penguin itu berjaya 'melarikan diri' dari sebuah pusat hidupan liar berdekatan dan kebetulan ditemui polis yang bertugas meronda kawasan berkenaan, lapor Metro.
Dalam catatan di Facebook Polis Broxtowe North, PC Gareth Philp dari Polis Nottingham melihat sesuatu yang menarik ketika mereka sedang melakukan rondaan.
"Kami menemui seekor penguin sendirian di tengah jalan dan pastinya penemuan ini sungguh luar biasa.
“Kami memanggilnya Po-Po. Dia bergambar dengan kami dan sangat 'ramah' dengan pegawai kami sebelum kami menghubungi pemiliknya.
"Dia kemudian pulang dengan selamat ke rumah," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Inspektor Gordon Fenwick memberitahu, anggota polis sudah dilatih untuk menangani pelbagai situasi dan bersyukur penguin itu berjaya disatukan kembali dengan pemiliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!