Warga emas perdaya bekas ADUN hingga rugi RM340,000 dijel

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas dipenjara dua tahun oleh dua Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 19 pertuduhan memperdayakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Hasan Mohamed Ali sehingga kerugian RM340,000.

Majistret Nor Maizan Rahim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Mohammad Aidid Mohd Sharif, 72, manakala di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar dia dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap semalam.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Mohammad Aidid didakwa dengan curangnya memperdayakan Hasan sehingga menyerahkan wang sebanyak RM340,000 secara berperingkat sebagai pinjaman untuk proses mencairkan wang tertuduh di Bank of London yang tertuduh janji akan membayar semula pinjaman tersebut berserta imbuhan bagi membantu projek Kompleks Anjung Husnul Khatimah yang dijalankan oleh mangsa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ampang Point di sini antara 29 Januari 2019 hingga 30 Disember 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa dan Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira mangsa mengalami kerugian besar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak mempunyai pendapatan selain mengharapkan wang daripada anak dan mempunyai penyakit parkinson.

Mengikut fakta kes, Hasan yang juga pengadu telah memberi pinjaman wang sebanyak RM340,000 secara ansuran kepada tertuduh kerana memerlukan wang untuk perniagaan tertuduh di London untuk dibawa ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pengadu telah dijanjikan akan membayar semula pinjaman wang tersebut berserta dengan bantuan untuk membangunkan Kompleks Anjung Husnul Khatimah, bagaimanapun sehingga kini pengadu belum menerima pinjamannya semula serta imbuhan yang dijanjikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!