Nama jurugambar diabadikan pada orkid

Dome merakam gambar bersama kanak-kanak orang asli di Kuala Koh, Kelantan. - Foto Facebook Dome Nikong
Dome merakam gambar bersama kanak-kanak orang asli di Kuala Koh, Kelantan. - Foto Facebook Dome Nikong
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nama saintifik bagi spesies orkid liar baharu, chysis domei archila yang ditemui di kawasan hutan Guatemala dinamakan sempena nama seorang jurugambar dari Terengganu.

Spesies baharu itu ditemui oleh seorang ahli botani (orkidologi) dari Guatemala, Fredy Leonel Archila Morales yang telah mengkaji orkid di negara berkenaan sejak 30 tahun lalu.

Menurut Fredy, nama bagi orkid itu didedikasikan kepada jurufoto yang menggunakan nama pena Dome Nikong atas sumbangannya terhadap dunia botani.

Dome, 44, yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiu berkata, beliau gembira dan teruja dengan penghargaan yang diberikan hasil usaha dan fokusnya dalam kerja konservasi orkid serta penyelidikan tumbuh-tumbuhan liar di hutan Terengganu.

Chysis domei archila, spesies baharu orkid liar di Guatemala yang diberikan nama sempena nama Dome. - Foto Facebook Dome Nikong
Chysis domei archila, spesies baharu orkid liar di Guatemala yang diberikan nama sempena nama Dome. - Foto Facebook Dome Nikong

“Chysis domei archila baru ditemui dalam tahun ini oleh ahli botani berkenaan sebelum beliau maklumkan kepada saya untuk meletakkan nama saya pada orkid itu selepas mengambil masa selama tiga bulan untuk siapkan kertas ilmiah berkaitan orkid tersebut.

“Saya teruja sebab penghargaan ini diberikan oleh orang luar yang menghargai usaha yang dilakukan walaupun saya tidak mengenali beliau secara dekat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Dome berkata, sebelum ini terdapat dua spesies tumbuhan yang juga diberikan nama sempena namanya iaitu thismia domei iaitu sejenis tumbuhan mycoheterotrophs yang mempunyai simbiosis dengan fungus atau kulat.

Artikel Berkaitan:

“Thismia domei diberikan nama oleh penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tahun lalu manakala satu lagi tumbuhan daripada spesies periuk kera iaitu nepenthes domei yang diberikan nama oleh penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) akhir bulan lalu,” katanya yang telah 13 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi dan enam tahun dalam bidang penyelidikan.

Dome bersama bunga rafflesia di Bukit Batu Kapal, Gerdong, Hulu Terengganu. - Foto Facebook Dome Nikong
Dome bersama bunga rafflesia di Bukit Batu Kapal, Gerdong, Hulu Terengganu. - Foto Facebook Dome Nikong

Dome berkata, kemahiran dalam bidang fotografi yang dimiliki digunakan sepenuhnya bagi merakam tumbuhan liar serta hidupan di hutan yang kian pupus.

Terbaharu, beliau menerbitkan sebuah buku pertama berjudul Wild Terengganu yang disiapkan dua minggu lalu memaparkan maklumat berkaitan tumbuhan serta hidupan seperti bunga liar, buah liar serta serangga di Terengganu.

Katanya, buku itu dihasilkan setelah enam tahun beliau menyelidik dan meneroka keajaiban alam yang tersimpan di hutan di negara ini.

“Diharap dengan usaha ini dapat membantu dalam mendokumentasikan khazanah alam berharga untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!