Terkejut hanya dua penumpang dalam sebuah pesawat
WELLINGTON - Menaiki sebuah pesawat komersial dengan hanya dua orang penumpang merupakan pengalaman yang tidak akan dilupai dalam kehidupan.
Salah seorang daripada penumpang tersebut adalah ahli perniagaan yang dalam perjalanan dari Wellington ke Auckland baru-baru ini.
Ahli perniagaan itu yang juga Ketua Ekonomi Bagrie, Cameron Bagrie berkata: "Saya anggap saya telah lewat tetapi kemudian menyedari hanya terdapat dua orang sahaja di dalam pesawat."
Menurut portal New Zealand Herald pada 13 Ogos lalu, Bagrie memuji layanan profesional yang ditunjukkan oleh kakitangan syarikat penerbangan Air New Zealand itu.
"Perkara yang paling penting ialah kakitangan syarikat Air New Zealand dan Lapangan Terbang Auckland adalah mengagumkan. Ini adalah waktu yang sukar tetapi mereka masih boleh memberikan senyuman," katanya.
Situasi itu berlaku disebabkan oleh sebahagian besar penduduk di Auckland tidak keluar dari bandar tersebut kerana pandemik koronavirus (Covid-19) menyebabkan kerusi tidak dipenuhi dengan penumpang.
Namun, dia memberitahu portal tersebut bahawa suasana di dalam pesawat itu yang cuma seramai dua orang termasuk dirinya merupakan pengalaman yang menyeramkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!