200 Jalur Gemilang hiasi rumah

Md Amin bersama isterinya, Rozana menghiasi rumah mereka dengan lebih 200 Jalur Gemilang.
Md Amin bersama isterinya, Rozana menghiasi rumah mereka dengan lebih 200 Jalur Gemilang.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan suami isteri di Taman Indera Sempurna di sini akan menghiasi rumah mereka dengan beratus Jalur Gemilang daripada pelbagai saiz setiap kali tiba bulan kemerdekaan.

Md Amin Sarju, 56, berkata, Jalur Gemilang itu dipasang pada bahagian luar rumahnya sebagai tanda sokongan dan semangat cintakan negara.

Menurutnya, bagi tujuan itu beliau menyediakan lebih 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk dipasang di hadapan rumah, pagar dan tiang elektrik rumahnya.

"Saya dan isteri (Rozana Sarman, 54) mula hias rumah pada minggu lalu dan aktiviti pemasangan bendera ini dibuat secara berperingkat. Setiap petang bila waktu terluang kami bergotong-royong memasang bendera.

"Paling seronok sekali bila jiran turut sama membantu memasang bendera sekali gus mengeratkan silaturahim antara satu sama lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam.

Md Amin berkata, tema hiasan Jalur Gemilang kali ini berkaitan dengan wabak koronavirus (Covid-19) dan bentuk virus penyakit itu dihasilkan dengan menggunakan lebih 15 bendera bersaiz kecil yang dilekatkan pada bola polistirena.

Katanya, beliau menyediakan perbelanjaan lebih RM100 untuk membeli Jalur Gemilang bagi tujuan hiasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Md Amin memasang Jalur Gemilang di rumahnya setiap kali tiba bulan kemerdekaan.
Md Amin memasang Jalur Gemilang di rumahnya setiap kali tiba bulan kemerdekaan.

"Minggu ini saya merancang untuk membina logo Hari Kebangsaan dengan menggunakan tayar kenderaan terpakai yang dicat.

"Saya berharap kempen memasang Jalur Gemilang akan mendapat sokongan penduduk setempat terutama mereka yang menetap di Lorong 17 Taman Indera Sempurna yang sebelum ini tidak mengecewakan," katanya.

Sementara itu, jiran Md Amin, Noraini Abdul Latiff, 46, berkata, beliau juga teruja kerana dapat turut sama bergotong-royong menghias rumah dengan Jalur Gemilang.

Katanya, aktiviti itu dilakukan setiap tahun berkat dengan semangat kejiranan di taman perumahan itu.

"Setiap kali tiba bulan Ogos penduduk Taman Indera Sempurna akan menghiasi rumah masing-masing dengan Jalur Gemilang, seolah-olah sudah menjadi kemestian aktiviti berkenaan dilakukan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

"Saya yakin jumlah Jalur Gemilang di kawasan ini akan bertambah dua hingga tiga kali ganda apabila hampir dengan tarikh keramat negara 31 Ogos," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!