Pelagak ngeri bakar diri untuk lamar kekasih
LONDON - Seorang pelagak ngeri profesional sanggup membakar diri untuk melamar kekasihnya.
Dalam video yang tular di media sosial itu, bahagian belakang tubuh Riky Ash, 52, disambar api ketika dia sedang melutut untuk meminta Katrina Dobson, 48, menjadi isterinya.
Difahamkan, Dobson yang merupakan seorang jururawat tahu Ash akan melakukan lagak ngeri itu namun menyangka ia hanya untuk tujuan penggambaran.
“Saya tidak menemui cara yang lebih mengagumkan selain melamar wanita yang saya cintai ketika sedang terbakar.
“Saya mampu bertenang sepanjang proses tersebut disebabkan latihan kung fu dan bahagian yang lebih sukar adalah memastikan kejutan itu berjalan lancar,” katanya yang telah menjadi pelagak ngeri selama 27 tahun.
Selepas Dobson bersetuju dan menyatakan ya, kru keselamatan bergegas memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.
Sebagai langkah keselamatan, Ash memakai pakaian dalam pelindung serta gel tahan api di wajah, kepala dan lehernya untuk memastikan lamaran tersebut sempurna.
Selain jurukamera dan penerbit, kru keselamatan turut berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Pelagak ngeri profesional yang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu dikatakan pernah bekerja dengan beberapa aktor Hollywood terkenal termasuk Richard Burton dan Johnny Depp.
Menurut laporan, kedua-dua pasangan terbabit bertemu dalam talian sejurus sebelum sekatan Covid-19 dikenakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!