Kluster Tawar: Ibu bapa bimbang hantar anak ke sekolah

Murid sekolah memakai pelitup muka bagi melindungi dari penularan wabak Covid-19.- Foto Bernama
Murid sekolah memakai pelitup muka bagi melindungi dari penularan wabak Covid-19.- Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kehadiran murid di beberapa buah sekolah di sekitar kawasan yang terjejas dengan pandemik koronavirus (Covid-19) Kluster Tawar di Baling merosot disebabkan oleh kebimbangan ibu bapa.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, sejak tercetusnya kluster tersebut, masyarakat sekitar berasa bimbang terutamanya waris kanak-kanak yang bersekolah.

"Waris-waris janganlah berasa risau yang melampau kerana pihak kerajaan amat prihatin tentang keselamatan murid dalam menghadapi situasi begini.

"Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jaga kebersihan, biasakan dengan normal baharu... andainya sekolah terpaksa ditutup, Jabatan Pendidikan Negeri akan keluarkan panduan pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Proses pembelajaran boleh diteruskan," katanya.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, difahamkan ada sekolah yang hanya mencatat kehadiran sekitar 42 peratus sahaja dan kebanyakan sekolah lain sekitar 70 peratus.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak tujuh kes baharu iaitu empat di Kedah dan tiga lagi di Pulau Pinang.

Secara keseluruhan seramai 46 orang disahkan positif Covid-19 melalui Kluster Tawar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!