Lelaki, rakan wanita maut langgar van kilang

Kedua-dua mangsa maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah van pekerja di lampu isyarat di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pagi tadi.
Kedua-dua mangsa maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah van pekerja di lampu isyarat di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam pagi tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki bersama rakan wanitanya maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah van pekerja di lampu isyarat di Jalan Permatang Tinggi, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, Muhammad Ikhwan Najib Sidan, 23, yang tidak bekerja dan pekerja kedai telekomunikasi, Nursabrina Abdullah, 21, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, motosikal jenis Kawasaki RR150 ditunggang mangsa melanggar sebuah van pekerja yang datang dari arah Permatang Tinggi.

"Kejadian berlaku ketika van tersebut membelok ke kanan di sebuah lampu isyarat di sebuah simpang empat. Van itu sedang menuju ke kawasan perindustrian untuk menghantar pekerja kilang.

"Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan telah melanggar lampu isyarat merah lalu berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mayat Muhammad Ikhwan dan Nursabrina dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk proses bedah siasat kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Pemandu van yang berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan dan dia mempunyai lesen memandu yang sah manakala penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu.

"Kita akan mengambil rakaman kamera 'dashboard' yang dipasang pada van pekerja tersebut untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!