PRK Slim: BN tidak berkempen di sekolah

Mohd Zaidi (kiri) menggunakan motosikal bagi kempen rumah ke rumah di Kampung Klah Baru, Slim River hari ini.
Mohd Zaidi (kiri) menggunakan motosikal bagi kempen rumah ke rumah di Kampung Klah Baru, Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menegaskan tiada sebarang kempen diadakan di sekolah untuk meraih undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Menurutnya, jadual kempen yang diatur hanya tertumpu di kawasan dibenarkan berkempen terutama tempat tumpuan orang ramai seperti pasar, kedai makan dan rumah ke rumah.

"Jadual saya semuanya tiada yang masuk ke sekolah dan saya sendiri tidak hadir ke sekolah untuk berkempen.

"Saya lebih tumpu di kawasan orang ramai macam pasar pagi, restoran dan kedai-kedai kerana itu lebih dekat dan mesra.

"Rata-rata pengundi berpuas hati kerana boleh kenal calon dengan lebih rapat, malah mereka boleh sampaikan apa juga masalah kepada kita untuk didengar dan melihat apa bentuk penyelesaian yang boleh dibawa," katanya ketika ditemui pemberita pada program lawatan rumah ke rumah di Kampung Klah Baru, Slim River di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pemimpin BN berkempen bagi pihaknya dalam satu majlis di sekolah.

Menurutnya, jadual kempen yang disusun pihaknya langsung tidak terikat dengan jadual pucuk pimpinan kalangan Ahli Parlimen, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Menteri Kabinet yang turun membantu kempen.

"Kalau saya punya waktu kelapangan, saya akan 'slot in' bersama mereka kerana fokus saya adalah untuk bertemu seramai mungkin pengundi. Kalau saya ikut jadual pimpinan mungkin akan berlaku kekangan di situ," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, masuk hari keempat kempen hari ini, gerakan kempen dijalankannya sudah meliputi 90 peratus kawasan DUN dan esok bakal mencapai 100 peratus untuk semua lokasi.

"Saya cadang melakukan tiga kali pertemuan dengan pengundi di setiap kawasan sehinggalah kempen berakhir 28 Ogos ini.

"Kita nak orang lihat BN, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional ini punya satu hubungan yang akrab, jika kita ada bukti kekuatan, orang akan lihat kita satu pasukan yang kuat dan susah untuk dipecahbelahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!