TNB tawar insentif khas kepada pelanggan perdagangan
TENAGA Nasional Berhad (TNB) menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pelanggan perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini.
TNB dalam satu kenyataan menjelaskan, Insentif yang diberikan sejak 2000 ini ditawarkan kepada semua pelanggan perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos 2019), untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2020.
Bagaimanapun, katanya, insentif hanya akan tertera di dalam bil bulan Oktober 2020 bagi pelanggan yang layak.
Menurutnya, ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak.
“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2020,” menurut kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, pelanggan yang layak boleh membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran atau melalui portal myTNB di www.mytnb.com.my sebelum tarikh tutup permohonan pada 15 September ini.
“Pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau e-mel ke tnbcareline@tnb.com.my untuk sebarang pertanyaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!