Pemandu, kelindan lori perlu ujian swab sebelum masuk Singapura

Hasni (tengah) beramah mesra dengan wakil-wakil bank dalam Majlis Perasmian Padanan Perniagaan di Antara Koperasi-koperasi, Venture Capital, GLC dan Bank-bank Tempatan di Malaysia Dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.
Hasni (tengah) beramah mesra dengan wakil-wakil bank dalam Majlis Perasmian Padanan Perniagaan di Antara Koperasi-koperasi, Venture Capital, GLC dan Bank-bank Tempatan di Malaysia Dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemandu lori dan kelindannya dicadang menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah sebelum masuk ke Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang mencadangkan langkah itu berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Kesihatan untuk mengenakan syarat tersebut bagi mereka yang menghantar bekalan dengan lori ke Singapura.

Jelasnya, langkah tersebut adalah penting dalam usaha mengekang penularan Covid-19 susulan pembukaan sempada Malaysia-Singapura semalam.

"Sebelum ini, pemandu lori dan pembantu pemandu lori yang menghantar bekalan menjalani ujian suhu sahaja, namun kita menasihatkan agar mereka turut menjalani ujian swab. Perkara ini sedang dirundingkan dengan kementerian terlibat.

"Kaedah dan cara negara kita menguruskannya jauh lebih berjaya dan berdasarkan angka-angka yang dipaparkan kepada kita ia menunjukkan bahawa kita dapat mengawal penularan wabak Covid-19 ini dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Padanan Perniagaan di Antara Koperasi-koperasi, Venture Capital, GLC dan Bank-bank Tempatan di Malaysia Dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Hotel Thistle di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad serta Ketua Bahagian Penternakan Mapan dan Digital KPAM, Datin Rusila Hashim.

Hasni berkata, aspek kesihatan masyarakat khususnya melibatkan Covid-19 ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan semula.

"PKP ini cukup menekan ekonomi negara, atas dasar itu kita perlu mengelakkannya daripada berulang. Sekiranya itu berlaku, kita akan berdepan situasi lebih rumit," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bagi fasa pertama semalam berjalan lancar kecuali ada satu insiden semasa ujian swab tetapi sudah pun mendapat rawatan di hospital.

Diharapkan katanya, pembukaan sempadan itu akan diteruskan secara berperingkat-peringkat kerana ekonomi negeri ini banyak bergantung dengan perkembangan ekonomi di negara jiran tersebut.

"Kerajaan negeri akan terus berusaha agar keadaan (di sempadan) dapat kembali seperti biasa, walaupun secara berperingkat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!