Isu banjir libatkan 7,000 penduduk perlu diatasi segera

Mohd Zaidi (tengah) ketika mengadakan kunjungan ke rumah bekas ketua Kampung Klah Baru, Mohd Ishak Hassan.
Mohd Zaidi (tengah) ketika mengadakan kunjungan ke rumah bekas ketua Kampung Klah Baru, Mohd Ishak Hassan.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Masalah banjir kilat yang membelenggu 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim sejak 50 tahun lalu antara tumpuan isu yang perlu diselesaikan segera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz berkata, isu berkenaan juga antara yang kerap diuatarakan penduduk dalam gerakan kempennya yang masuk hari keempat hari ini.

Menurutnya, masalah itu telah berlarutan sekian lama dan setakat ini, belum ada penyelesaian jangka panjang diambil menyebabkan kejadian banjir dan rumah penduduk dinaiki air berlaku berulang kali.

"Masalah ini disebabkan limpahan air Sungai Slim yang berpunca daripada taburan hujan yang tinggi, ada cadangan untuk mengatasinya bagi jangka masa panjang, namun kita memerlukan bajet yang besar.

"Jika guna langkah jangka pendek seperti dalamkan sungai, selenggara buang sampah dan sebagainya ia tidak menjamin kerana pada masa akan datang, beri impak lebih besar ke kawasan lain pula," katanya ketika ditemui pemberita pada program lawatan rumah ke rumah di Kampung Klah Baru, Slim River di sini hari ini.

Mohd Zaidi yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata, masalah berkenaan sudah dibawa ke Jawatankuasa Tindakan Daerah dan dibahaskan di Sidang DUN Negeri oleh wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

"Sebab itu saya difahamkan telah ada usaha-usaha di peringkat kerajaan untuk melihat masalah ini dan perkara ini memang perlu diperhalusi dan diatasi segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ishak Hassan
Mohd Ishak Hassan

Sementara itu bekas Ketua Kampung Klah Baru, Mohd Ishak Hassan, 62, berkata, kejadian terbaru banjir kilat di kawasan itu adalah pada Jun lalu selepas hujan berterusan selama hampir 8 jam.

Keadaan itu katanya, menyebabkan 36 rumah terjejas dan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera, rasanya penduduk sudah tak mampu lagi nak berdepan masalah sama, setiap kali hujan hati mesti risau dan bimbang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!