Individu kibar Jalur Gemilang terbalik wajar dikena hukuman berat

Zahidi (tengah) menyaksikan Mohamad (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan barisan hadapan pada program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.
Zahidi (tengah) menyaksikan Mohamad (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan barisan hadapan pada program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap individu yang sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, menghina Jata Negara dan raja sebagai pengajaran agar tindakan biadab itu tidak berulang.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perbuatan penghinaan terhadap negara itu amat dikesali, malah ia jarang berlaku di negara lain.

"Kerajaan sudah buat yang terbaik. Kita harap mereka ini ditangkap dan dikenakan tindakan tegas supaya dijadikan pengajaran.

"Kalau boleh, beratkan lagi hukuman kerana perbuatan ini jarang berlaku di negara lain. Sebagai contohnya di negara Thailand, jika hina raja mereka hukuman berat dikenakan, tapi di Malaysia seolah-olah tiada apa," katanya.

Berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Program Merdeka@Komuniti Peringkat daerah Seremban di Dewan Eco Park Rantau di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, individu terlibat dilihat sengaja melakukan perbuatan biadab tersebut disebabkan terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu.

"Jika tidak berpuas hati dengan kerajaan sekali pun ia bukan alasan untuk tidak menghormati negara sehingga melakukan perbuatan tidak sepatutnya seperti itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai sambutan kemerdekaan tahun ini, beliau berharap masyarakat terus bersemangat menyemarakkannya walaupun terpaksa disambut dalam suasana normal baharu berikutan Covid-19.

Katanya, masyarakat juga diharap dapat menjiwai dan mengamalkan prinsip Rukun Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!