Penyokong bayar ‘hutang’ tiket selepas sembilan tahun
KUALA TERENGGANU – Sikap jujur seorang penyokong pasukan Terengganu Football Club (TFC) yang kembali membayar tiket bagi perlawanan bola sepak yang ditonton secara haram sembilan tahun lalu dengan memanjat pagar stadium dipuji pengguna media sosial.
Menurut laman Facebook rasmi TFC, penyokong terbabit hadir ke pejabat pengurusan semalam dan menyatakan ingin membayar duit tiket bagi tiga perlawanan yang ditonton melibatkan pasukan Terengganu pada 2010/2011.
Katanya, peminat pasukan Terengganu itu kesal dengan tindakan yang dilakukan ketika itu malah menyifatkan ketika itu dia tidak berfikir panjang sebelum bertindak.
“Kini dia tahu betapa besarnya sumbangan penyokong dalam membantu kewangan dan kestabilan pasukan yang mereka sokong walaupun hanya dengan membeli sekeping tiket.
“Dia juga menyatakan rasa bersalah dan ingin mengambil tanggungjawab untuk memulangkan apa yang sepatutnya dikembalikan selepas sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, TFC menerusi laman sosialnya itu turut memuji tindakan penyokong terbabit.
“Bagi TFC, ia adalah satu tindakan yang sangat terpuji dan menunjukkan penyokong terbabit adalah seorang yang jujur bukan sahaja sebagai seorang penyokong tetapi sebagai seorang manusia.
“Kepada anda yang kami maksudkan ini, terima kasih, anda adalah penyumbang dan anda adalah pejuang bersama kami,” tulisnya disertai tanda pagar #respect.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!