Bersatu sertai MN: UMNO dengar pandangan akar umbi, netizen

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pandangan akar umbi dan netizen akan diberikan keutamaan sebelum Muafakat Nasional (MN) membuat sebarang keputusan untuk menerima penyertaan daripada parti lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

"Pandangan akar umbi UMNO dan netizen pasti diberi keutamaan dan didengar sebelum Muafakat Nasional membuat keputusan untuk memuktamadkan penerimaan rakan kongsi politik baharu.

"Majlis Tertinggi UMNO akan memutuskannya," katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya hari ini.

Hari ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan parti itu menerima maklum balas kurang baik daripada ahli akar umbi berhubung persetujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai MN.

Mohamad Hasan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Biro Politik UMNO secepat mungkin sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!