Aspek hijrah yang jarang disentuh
ESOK adalah hari cuti. Cuti apa? Cuti Awal Muharam. Kebanyakan daripada kita akan teringat yang esok adalah hari cuti, boleh berehat dan pergi jalan-jalan. Sedangkan awal Muharam adalah hari cuti untuk mengingati betapa signifikan penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Hijrah ini adalah simbol pengorbanan yang dilakukan Baginda dan jemaahnya sebagai game changer.
Sejak diutus menjadi Rasulullah SAW, Baginda membina akidah dan tauhid selama 13 tahun di Makkah. Bagaimana pun tentangan dari kaum Quraisy menggugat usaha Baginda. Apabila ALLAH SWT mengutuskan agar Baginda berhijrah ke Madinah, maka Rasulullah SAW bersama para sahabat. Di kalangan mereka terdapat para usahawan dan jutawan yang turut serta sehelai sepinggang meninggalkan segala harta.
Di Madinah, Rasulullah membina masjid, pasar dan kemudiannya menegakkan sebuah negara. Baginda menyusun piagam Madinah yang merupakan panduan untuk sebuah negara Islam, sistem pentadbiran, ketenteraan, diplomatik dan juga menstruktur ekonomi. Aspek ekonomi tidak banyak yang disentuh oleh para pendakwah dalam mengisahkan hijrah Baginda. Tidak difokus bagaimana Rasulullah SAW bersaing dengan ekonomi Yahudi ketika itu dengan membina pasar Islam.
Ia bermula apabila Baginda mendapat berita dari para sahabat bahawa pasar Yahudi di Madinah mengenakan harga yang tinggi, menipu dalam urusniaga dan zalim terhadap pengguna khususnya orang Islam yang dikenakan sewa yang tinggi.
Apabila mendapat maklumat itu, Rasulullah SAW tidak bertemu dengan pedagang-pedagang Yahudi untuk mendesak menuntut keadilan diberikan ruang niaga kepada usahawan Islam di dalam pasar Yahudi kerana tidak mahu para peniaga Islam terpaksa akur dengan syarat-syarat dan sepak terajang di padang permainan Yahudi.
Sebaliknya Baginda telah membina pasar Madinah yang berasingan untuk orang Islam. Baginda tahu seandainya Baginda mengambil tindakan konfrontasi dengan kaum Yahudi, ia akan menimbulkan permusuhan dan tentu sekali persengketaan yang tak berkesudahan. Pembinaan hidup baharu akan terhalang apabila muncul seteru baharu. Apa yang terjadi di Makkah akan berulang apabila dakwah terhalang.
Berniaga
Apabila Baginda buka pasar sendiri, ia juga memberi ruang kepada golongan usahawan Muhajirin mempunyai ruang berniaga. Dan masyarakat Ansar yang mahir dalam pertanian pula dapat membekalkan produk mereka ke pasar Islam yang terbina. Inilah bentuk persahabatan dari segi ekonomi di antara golongan Muhajirin dan Ansar.
Apabila membuka pasar sendiri, Baginda yang tentukan syarat, peraturan dan sistem yang patuh syariah. Barangan halal, sumber halal, tiada urusniaga berunsurkan riba seperti di pasar Yahudi. Pasar Islam itu memberi kitaran dalam ekosistem ekonomi Islam. Peniaga Islam berurusniaga dengan pengguna Islam juga. Ia menjana ekonomi umat Islam. Dengan keteguhan ekonomi, aktiviti dakwah dapat berjalan dengan dana kewangan yang mencukupi.
Pada hari ini, kita tidak ambil ibrah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Strateginya ialah membina pasar sendiri, lakukan urusniaga sesama sendiri untuk mengukuhkan ekonomi. Pada hari ini kita bercakap tentang kelemahan ekonomi umat Islam, padahal kita sendiri yang meniriskan belanja di tempat lain dan mengayakan orang lain.
Berapa ramai di antara kita yang sedar formula berjaya yang dilakukan Rasulullah saw dan cuba ikut formula yang telah dicartakan oleh Baginda? Kita berbelanja tanpa berfikir akan kesannya. Dan di mana pasar Islam kita?
Kita hanya nampak ekonomi sebagai jalan untuk membuat duit dan untung menurut ajaran dan anutan sistem yang bergelumang dengan riba. Akhirnya ekonomi negara terdedah dengan manipulasi golongan kapitalis. Ia tidak mengkayakan negara kerana berkatnya dah hilang. Kita kenalah berhijrah dalam ekonomi. Sekurang-kurangnya mulakan pada tahun ini dengan menghijrah sebahagian daripada perbelanjaan kita mengutamakan peniaga-peniaga Islam.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!