Indahnya sebuah keikhlasan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

DALAM satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh Umar Ibn Khattab RA, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap perbuatan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan itu diukur berdasarkan niat. Jika itu yang diniatkan maka itulah yang bakal diusahakan untuk diperoleh. Meskipun begitu amat sukar untuk mengukur sebuah keikhlasan. Apa yang diucap di bibir kadangkala jauh sekali bahkan amat dangkal ketulusannya. Itulah sikap manusia yang sentiasa kaya dengan tipu helah, munafik dan berpura-pura serta berprasangka.

Walau bagaimanapun, sebagai manusia kita boleh saja menjelaskan keikhlasan itu dengan menyatakan apa yang benar-benar diniatkan dengan perbuatan. Perbuatan adalah bukti agung sebuah keikhlasan jika niatnya untuk perpaduan, penyatuan, kekuatan dan ketahanan. Jika tidak, mengambil semangat daripada hadis tadi, hijrah dan perubahan yang ingin dicapai adalah bergantung kepada apa yang nak dicapai dan diinginkan.

Jika yang hendak dicapai adalah untuk kepentingan peribadi dan satu puak sahaja, maka matlamat besar untuk mencapai kekuatan, ketahanan, penyatuan dan perpaduan pastinya tidak akan tercapai. Malah pasti akan terburai dan berderai kehancuran. Dokongan semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan segala cita-cita murni ini. Halangan besar untuk menjelaskan keikhlasan pastinya keegoan, kebencian dan dendam lalu yang membara. Tiada sudah menyimpan segala sikap dan prasangka sedemikian. Yang berlalu biarkanlah berlaku. Sedangkan biduk yang berlalu pun, kiambang pasti bertaut. Lapangkan dada ringankan akal dan nyamankan pemikiran. Ucaplah puji-pujian pada ALLAH dan Rasul, nescaya kelak keikhlasan akan berkunjung jua.

Kesatuan, penyatuan, perpaduan dan kekuatan adalah prasyarat asas bagi mencapai kestabilan. Kestabilan tidak akan menjelma semudah yang diucapkan tetapi perlu dibuktikan. Sejarah yang lalu sudah membuktikan bahawa perpecahan yang bercabang hanya membawa kepada kelemahan yang akan mudah dikaut oleh musuh yang sedang menunggu untuk menyerang. Perpecahan hanya akan mempertahankan ego masing-masing dan menafikan kelebihan orang lain.

Musuh sebenarnya tidak kuat. Musuh jauh lebih lemah tetapi musuh senantiasa pintar mengambil kesempatan atas kelemahan dan perpecahan kita yang nyata. Jangan sekali lagi kita menggadaikan masa, tenaga, harta dan maruah serta masa depan generasi akan datang pada tangan musuh yang sebenarnya tidak mampu berbuat apa-apa selain berebut kuasa dan terus-menerus meruntuhkan institusi warisan nusa.

Hulurkanlah keikhlasan itu, atas runtuhan masa lalu ayuh kita bina kembali sebuah kota perpaduan dan penyatuan yang baharu. Masa masih tersisa untuk bersatu pada tali yang satu. Pada tali yang padu dan pada kalimah yang jitu. Masa yang tersisa ini tidak akan datang kembali. Manfaatkanlah segala yang ada ini untuk kita terus menyusun segala gerak dan membina keikhlasan bersama atas satu tujuan, satu cita, satu bendera dan satu lambang.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!