Bukit Aman lantik pegawai kanan tinggi ketuai kes Indira Gandhi

Abdul Hamid (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia Tahun 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia Tahun 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan tinggi polis dilantik mengetuai kes M Indira Gandhi untuk mengesan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, pegawai kanan polis berkenaan ditugaskan untuk mengesan dan menghubungi Muhammad Riduan Abdullah.

“Saya ingin menyatakan bahawa kes berkenaan saya tidak ambil remeh kerana saya pun seorang bapa maka saya amat memahami tentang perasaan kehilangan anak,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat bantuan seorang ahli politik tempatan dan seorang pegawai agama untuk membantu polis mengesan Muhammad Riduan.

“Kami hendak cari jalan penyelesaian kes ini dan memberi jaminan agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Abdul Hamid mendedahkan, baru-baru ini pihaknya banyak menerima komen negatif netizen yang mengkritik tindakan polis menyiasat kes berkenaan.

“Mereka (netizen) ingat hendak tangkap Muhammad Riduan ini seperti tangkap ayam? Kami hendak tangkap seorang manusia yang sentiasa berpindah-randah di sebuah negara.

“Saya tidak boleh masuk secara tiba-tiba ke dalam negara itu dan tahan dia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan lanjut kes Indira Gandhi.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid berkata, pihaknya cuba membina keyakinan diri pada Muhammad Riduan untuk tampil menyerah diri membantu siasatan polis.

“Apa yang hendak dia (Muhammad Riduan) takutkan? Dia bukan menghadapi hukuman mati pun. Kami harap dia boleh berjumpa dengan pihak mahkamah demi masa depan anaknya,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Muhammad Riduan dipercayai tidak berada tetap pada satu-satu tempat di luar negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa PDRM sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali Indira Gandhi dengan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa, 11 tahun.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Muhammad Riduan yang hilang bersama Prasana Diksa pada 2011.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!