Demi prestasi atlet olahraga

Nazmizan
Nazmizan
A
A
A

BEKAS raja pecut negara, Nazmizan Muhammad menyambut baik rancangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menempatkan secara berpusat semua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian pengarah teknikalnya, Dwayne Miller di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Menurut Nazmizan, perancangan KOM itu perlu dilihat dari sudut jangka panjang dalam usaha meningkatkan prestasi atlet pada masa depan.

“Saya sambut baik rancangan KOM menempatkan semua atlet pecut negara secara berpusat di Bukit Jalil di bawah kendalian Miller yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi prestasi atlet negara.

“Kita pun sebenarnya perlu beri ruang kepada Miller untuk membuktikan kepakarannya dalam usaha meningkatkan mutu prestasi sedia ada atlet kebangsaan terutama dalam acara pecut, lompat jauh dan lompat kijang.

“Prestasi atlet Amerika Syarikat di pentas olahraga dunia sudah terbukti sekian lama. Jadi inilah peluang terbaik untuk atlet negara seperti Khairul Hafiz (Jantan) dan Muhammad Haiqal (Hanafi) berguru dengan Miller," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar memaklumkan, badan induk olahraga negara itu merancang menempatkan secara berpusat semua atlet pecut elit kebangsaan di MSN, Bukit Jalil.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan barisan atlet dan jurulatih yang terlibat dengan proses perpindahan dijangka selesai dalam masa dua minggu.

Mengulas lanjut, Nazmizan meminta KOM mengadakan perbincangan secara lebih terperinci dengan Mohd Poad Md Kassim yang juga jurulatih kedua-dua atlet terbabit bagi memastikan semua pihak berada dalam situasi menang-menang.

Artikel Berkaitan:

“Bukan apa, beliau (Mohd Poad) mungkin telah mempunyai perancangan tersendiri untuk kedua-dua atlet berkenaan yang kita tidak ketahui sebelum ini dan mungkin juga program atlet berkenaan berada di bawah Miller untuk satu tempoh tertentu.

“Jadi perbincangan ini juga penting bagi memastikan tidak hanya kebajikan atlet terbabit terpelihara tetapi juga mereka nampak hala tuju selepas mengikuti program berkenaan.

“Situasi sama macam kita berkenan dengan seorang gadis untuk dijadikan isteri, takkanlah kita hendak suruh gadis itu bagi tahu kepada ayah dia hasrat kita mengahwininya.

“Sebaliknya kita perlulah ikut adab dengan hantar rombongan merisik berjumpa emak ayah gadis berkenaan bagi dapatkan restu, kemudian andai okay, kita hantar rombongan masuk meminang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!