'Vespa koleksi peribadi paling berharga'
KOTA BHARU - Seorang jurulatih taekwando menjadikan motosikal Vespa sebagai salah satu koleksi peribadi paling bernilai dalam hidupnya lantaran meminati kenderaan itu sejak kecil.
Minat mendalam Tuan Mohd Arif Mohd Arifin, 53, terhadap keunikan dan bentuk motosikal Vespa yang merupakan kenderaan 'mewah' satu masa dahulu mendorongnya memasang impian untuk memiliki Vespa dan menjadikan kenderaan tersebut sebagai koleksi peribadi.
Kini, hajatnya itu telah tertunai selepas dia berjaya membeli sebuah motosikal Vespa pada tahun 2015.
"Selepas kedudukan kewangan stabil, saya mengambil keputusan membeli sebuah Vespa lama daripada seorang pemilik di Rawang, Selangor. Vespa dari jenis Super itu dibeli dengan harga RM3,300, walaupun kurang elok, namun Vespa itu mempunyai dokumen lengkap," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubur Maras, di sini hari ini.
Menurutnya, dia kemudian membaikpulih Vespa tersebut sehingga ia boleh ditunggang semula.
Katanya, dia menghabiskan masa selama tiga tahun untuk mempelajari selok belok berkaitan Vespa.
Tambah Tuan Mohd Arif, minat terhadap kenderaan klasik itu turut dikongsi bersama empat anak lelakinya yang berusia dari 21 hingga 29 tahun.
Katanya,dua anaknya, Tuan Muhamad Amin, 27, dan Tuan Muhamad Adam, 24, kini bergelar sebagai 'doktor' Vespa meskipun pada usia muda.
"Sebagai galakan saya turut menghantar mereka untuk mempelajari ilmu membaikpulih Vespa dengan seorang mekanik berpengalaman di Kota Bharu.
"Anak-anak kini mampu melakukan kerja-kerja 'overhaul' enjin Vespa dalam masa satu hari sahaja. Sedangkan kerja-kerja itu mengambil masa antara seminggu hingga sebulan untuk disiapkan oleh mereka yang dikategorikan sebagai pakar dalam membaik pulih kenderaan tersebut," katanya.
Menurutnya, berbekalkan minat yang mendalam mereka membuktikan tugasan berat itu mampu dilakukan dengan 'mudah' jika bersungguh-sungguh.
Tuan Mohd Arif berkata, anak-anaknya itu mampu membaik pulih semua kerosakan termasuk motosikal jenis Skuter V-100.
Keluarga ini memiliki 10 buah Vespa daripada pelbagai jenis dan dua buah telah dijual kepada orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!