Sarawak tanggung kos penginapan, ujian semasa kuarantin
KUCHING - Kerajaan Sarawak akan terus menanggung pembiayaan kos bagi penginapan dan ujian Covid-19 sepanjang 14 hari tempoh kuarantin wajib bagi rakyat Sarawak yang baru kembali dari luar negeri.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan perintah mewajibkan kuarantin itu perlu dilaksanakan memandangkan ada sesetengah ujian ke atas mereka yang baru kembali ke dalam negeri, didapati positif walaupun selepas 11 hari memasuki negeri.
Beliau memohon maaf sekiranya perintah itu membebankan, namun menurutnya kerajaan negeri tidak berniat untuk menimbulkan masalah atau menyusahkan sesiapa, dan menurutnya mereka yang dikuarantin perlu mengambil ujian pengesanan pada hari kedua dan hari ke-10 tempoh pengasingan.
"Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa semua kos (ujian Covid-19) bagi rakyat Malaysia yang baru kembali dari luar negara perlu ditanggung oleh mereka sendiri... tetapi hari ini saya telah berbincang dengan Ketua Menteri, (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk kerajaan Sarawak menanggung kos itu (bagi penduduk Sarawak),” katanya.
Beliau yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian dalam sidang media harian berhubung keadaan Covid-19 dalam negeri di sini hari ini.
Sarawak diisytihar sebagai zon hijau baru-baru ini selepas bebas dari kes jangkitan tempatan baru Covid-19 sejak 30 Julai.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!